BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kini mengagihkan bahan makanan terutama daging dan ayam sejuk beku yang dirampas di pintu sempadan negara kepada Zoo Negara untuk tujuan pelupusan.

Menteri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata inisiatif berkenaan akan turut diperluaskan kepada zoo dan pusat jagaan haiwan lain di seluruh negara.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah bagi menampung kekurangan bekalan makanan untuk haiwan yang dihadapi zoo terbabit.

Menurutnya, antara barangan yang diagihkan adalah ayam dan daging sejuk beku.

"Setakat ini MAQIS sudah menghantar barang rampasan berkenaan sebanyak empat kali ke Zoo Negara dengan anggaran nilai sekitar RM400,000.

"Masih terdapat 240 tan daging dan ayam sejuk beku yang berada dalam simpanan MAQIS dan kesemuanya akan dihantar Zoo Negara selepas siasatan dan kes melibatkan mahkamah selesai," katanya.

Beliau berkata, MAQIS juga tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan inisiatif berkenaan di beberapa lokasi lain terutama melibatkan zoo dan pusat penjagaan serta pemuliharaan haiwan.

Awal Mac lalu, MAQIS dilaporkan telah menyerahkan lebih lapan tan ayam beku  kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan kepada haiwan di situ.

Sementara itu, Ronald berkata, MAQIS akan menerima kira-kira 1,300 anggota tambahan di seluruh negara berbanding 545 anggota yang ada ketika ini.

"Permohonan tambahan anggota telah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan setakat ini secara prinsipnya penambahan jumlah anggota itu telahpun mendapat persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali," katanya.

Jelasnya, MAQIS juga akan dibekalkan dengan 56 pucuk pistol bagi kelancaran aktiviti penguatkuasaan dan risikan jabatan itu di pintu sempadan tanah air.

Ronald  berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan di Kompleks Tahanan Sejuk Beku, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat.