BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 100,000 kilogram (kg) produk tenusu whey powder bernilai lebih RM400,000 di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

Pengarah MAQIS negeri Muhammad Ikram Abd Talib berkata pihaknya menahan lima kontena produk tenusu dari Ireland itu selepas pemeriksaan mendapati dokumen yang diisytiharkan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Pihak pengimport telah mengemukakan maklumat loji pemprosesan pada barang dagangan yang berbeza dengan maklumat loji pemprosesan yang dinyatakan pada sijil kesihatan dan permit MAQIS.

"Ekoran itu, semua dagangan yang keseluruhannya seberat 100,000 kg dan dianggarkan bernilai melebihi RM400,000 itu ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian, haiwan, karkas, ikan, produk pertanian, tanah dan mikroorganisma adalah menjadi suatu kesalahan.

Muhammad Ikram berkata pihak MAQIS mengingatkan kepada pemain industri agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau bakal berdepan tindakan tegas tanpa kompromi bagi menjamin industri makanan negara bebas daripada perosak, penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA