KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan memperbanyakkan kursus jangka pendek bersifat pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja beberapa sektor teknikal negara.

Menurut maklum balas bertulis MARA kepada Bernama, perluasan program itu merangkumi bidang elektrik, automotif, reka bentuk fesyen, media digital, perabot, penyaman udara, perancah, hiasan dalaman, bangunan serta percetakan dan pengiklanan.

Ke arah itu, MARA memaklumkan institusi pendidikan di bawahnya iaitu GiatMara dalam hala tuju sehingga 2030 akan memperbanyakkan program TVET Tahfiz yang dijalankan bawah konsep GiatMara Vocational Technical Hub (GVTH), sebuah kolaborasi kemahiran bersama komuniti, pelajar sekolah, agensi, dan pemain industri utama, ke institusi tahfiz di seluruh negara.

Menurut MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula kini terlibat dalam kerjasama dengan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk mengiktiraf pelajar Hufaz Profesional Ulul Albab melalui perakuan sijil tahfiz bertahap selain dalam perancangan untuk menghantar pelajar ke universiti Islam terkemuka melalui program mobiliti pelajar jangka pendek.

"Usaha mengubah landskap TVET Profesional dengan menerapkan elemen Tahfiz dalam kalangan graduan dilihat memberikan impak yang tinggi dalam membentuk sahsiah di samping mewujudkan pekerja hafiz," menurut kenyataan yang disediakan Unit Komunikasi Korporat MARA.

Sementara itu, MARA memaklumkan lebih 90 peratus daripada 1,013 lepasan TVET Tahfiz di bawah kelolaannya mendapat pekerjaan sekali gus menjadi bukti keberhasilan ekosistem TVET Tahfiz yang diamalkan di seluruh negara.

"Pendekatan dan strategi yang diambil oleh MARA adalah menerusi kolaborasi bersama dengan pemain industri untuk jaminan pekerjaan buat siswazah bagi memberikan nilai tambah sebagai pekerja yang berkualiti dalam dunia industri.

"Sebagai contoh, bagi pelatih di GiatMara yang menamatkan kursus, mereka ditawarkan peluang untuk menjadi usahawan teknopreneur di bawah program pembangunan usahawan.

"Kemenjadian TVET Tahfiz ini juga memberikan laluan kepada pelajar yang menamatkan diploma untuk menyambungkan pengajian mereka ke peringkat Teknologi Kejuruteraan atau Ijazah Teknologi berdasarkan kepada tawaran program yang disediakan seperti di UniKL atau rangkaian universiti teknikal Malaysia," menurutnya.

MARA memaklumkan, seramai 558 pelajar kini mengikuti 67 program TVET Tahfiz yang dijalankan di GiatMara, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan UniKL di seluruh negara bagi peringkat sijil, Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

-- BERNAMA