“Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali. Setelah 17 tahun bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan dan penganiayaan, ia berakhir dengan sekali lagi hukuman penjara,” kata Nurul Nuha dalam nada sebak.
Menurut Nurul Nuha, Anwar telah menunjukkan kesungguhan serta erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang.
“Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat. Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami.“March 2 Freedom adalah perjuangan yang dimaksudkan. Ia untuk pembebasan ayahanda saya dan untuk memberi suara untuk rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya.
Sementara itu, kakaknya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata, ini bukan lagi isu individu sebaliknya menjadi peringatan bahawa banyak perkara akan diberi tumpuan termasuk gerak kerja menghadapi pilihanraya.
“Rancangan kempen ini adalah untuk meminta para penyokong dan ahli keluarga menghantar poskad kepada Anwar sebagai tanda perjuangan belum berakhir. Frasa bahasa Inggeris dipilih adalah kerana kempen ini bersifat antarabangsa.
Menjawab bagi pihak Nurul Nuha, Nurul Izzah menafikan berkali-kali bahawa kempen March 2 Freedom sebagai titik awal memperkenalkan adik beliau atau mana-mana pihak ke arena politik.
March 2 Freedom adalah perjuangan untuk pembebasan Anwar Ibrahim selain untuk memberi suara untuk rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ketidakadilan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ketika ditanya sama ada kempen tersebut adalah pembaharuan atau penjenamaan semula gerakan ‘Reformasi’ yang gelombangnya kini tidak sebesar tahun 1998, Nurul Izzah berkata perkara yang penting adalah untuk menumpukan kembali kepada usaha-usaha dan memusatkan usaha terdahulu.
“Ada banyak kumpulan, termasuk Pengerusi Biro Antarabangsa PKR telah berusaha mendepankan isu ini, maka kita gabungkan dalam gerakan March 2 Freedom,” ujar beliau.
Nurul Izzah mengharapkan usaha keluarga mereka dapat menyegarkan kembali ingatan masyarakat negara ini tentang sejarah lalu.
“Apa yang berlaku pada 1998 atau 1999 tidak mungkin dapat ditonton atau dipelajari mereka yang mengikuti kurikulum di sekolah kebangsaan yang semuanya di bawah kawalan Barisan Nasional.
“Sedangkan ini semua adalah sebahagian daripada sejarah kita. Begitulah yang saya faham tentang hak asasi manusia.
“Saya telah menyaksikannya, dan ia satu pengajaran bermakna buat saya,” ujar Nurul Izzah yang teguh dengan kepercayaan bahawa institusi negara ini terus menyalahguna kuasa demi kepentingan cita-cita politik sesetengah pihak.
Beliau menaruh harapan agar gagasan March 2 Freedom dapat dikembangkan supaya ramai lagi menyedari bahawa perjuangan menuntut demokrasi menyeluruh dan reformasi politik serta ekonomi adalah sesuatu yang wajib dan penting.
“Kempen ini masih di peringkat awal namun mesejnya jelas. Kami cuba untuk tidak terikat dengan sebarang pihak kerana ini adalah usaha peribadi keluarga. Kami mahu menunjukkan kepada dunia tentang apa yang kami alami,” kata Nurul Nuha.
Ibu mereka yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak kelihatan dalam sidang media berkenaan.
“Sudah 17 tahun ibu saya terpaksa mengharungi perkara ini dengan mendepankan dirinya. Pada saya, anak-anak sudah besar dan dewasa. Kalau Nurul Hana pada tahun 1998 hanya berumur6 tahun, tetapi sekarang sudah dapat membantu dengan lebih aktif.
“Pada saya, berilah beliau (Wan Azizah) ruang untuk bersendiri,” kata Nurul Izzah.