Skip to main content

Advertisement

Malaysia

MARDI perluas tanaman benih bawang, sokong sasaran pengurangan import

Benih bawang MARDI
Luqman (kanan) berkata Malaysia ketika ini masih mengimport hampir 100 peratus bekalan bawang bernilai lebih RM1 bilion - Foto/ MARDI

KUALA LUMPUR: Projek tanaman bawang yang kini dijalankan petani tempatan dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan import negara sehingga 30 peratus menjelang 2030, sekali gus memperkukuh keselamatan makanan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad, berkata Malaysia ketika ini masih mengimport hampir 100 peratus bekalan bawang bernilai lebih RM1 bilion.

Advertisement

Beliau menambah, selain bawang, negara turut berdepan isu kekurangan jagung, bijirin dan produk daging, justeru usaha memperkasa pengeluaran domestik perlu dijalankan secara berfasa dan tersusun.

"Hari ini saya turun padang untuk menyaksikan sendiri inisiatif kerajaan memperkenalkan tanaman bawang yang berpotensi tinggi.

"Selama ini kita bergantung sepenuhnya kepada import, jadi langkah ini memberi impak besar kepada pengurangan nilai import dan peningkatan keselamatan makanan," katanya dalam satu kenyataan, selepas melawat plot pengeluaran benih bawang merah di Beris Lalang, Bachok.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menurut beliau, tanaman bawang sebenarnya hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dituai, sekali gus memberi pulangan cepat kepada petani.

Beliau berkata berdasarkan projek rintis di kawasan itu, keluasan kira-kira 0.8 ekar mampu menjana hasil hampir RM35,000 bagi satu musim tuaian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tanaman bawang kini turut diusahakan di Sabah melibatkan kira-kira lapan hektar, selain di Pahang, sebagai langkah permulaan sebelum diperluas ke negeri lain.

Ujar Luqman, sebahagian hasil projek rintis di Kelantan akan dijadikan benih untuk diagihkan kepada petani lain, dengan sokongan penyelidikan dan pemindahan teknologi oleh MARDI.

"Pada peringkat awal, di Beris Lalang ini kita membekalkan kira-kira dua tan benih sebagai permulaan. Kita juga memastikan bekalan benih mencukupi sebelum diperluaskan supaya apabila diuar-uarkan nanti, petani yang berminat tidak berdepan masalah kekurangan benih," katanya.

Luqman menambah agensi pelaksana seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memperluas pelaksanaan di peringkat lapangan, manakala MARDI terus memainkan peranan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti tanaman.

 

Must Watch Video