Skip to main content

Malaysia

Margin simpanan elektrik Sabah dijangka capai 26 peratus akhir tahun ini - Hajiji

Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan bekalan elektrik demi manfaat rakyat dan pembangunan Sabah.
Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu hari ini. - Gambar Facebook Hajiji Haji Noor
Advertisement

KOTA KINABALU: Margin simpanan penjanaan tenaga elektrik Sabah meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini dan dijangka mencecah 26 peratus menjelang akhir tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pada masa sama Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.

“Ini selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata perkembangan itu merupakan hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid yang dilaksanakan secara berterusan.

Katanya pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan daya harap dan keanjalan sistem.

Sementara itu, Hajiji berkata mesyuarat MTS itu antara lain membincangkan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) untuk tempoh 10 tahun bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga.

Beliau berkata usaha bagi membangunkan loji jana kuasa gas di Sandakan dan Tawau bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan bahan api marin (MFO) yang berkos tinggi turut dibincangkan.

“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang  dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.

Beliau berkata LSS dan BESS juga dilaksanakan khusus untuk meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di Pantai Timur.

Ketua Menteri berkata prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.

“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.

Sabah ambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement