Aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir menyambut baik cadangan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan lelaki dan perempuan daripada 16 kepada 18 tahun.

Beliau berkata ini sebagai langkah untuk melindungi hak kanak-kanak daripada dieksploitasi pihak-pihak tertentu, selain mengambil perhatian soal emosi, fizikal dan pendidikan kanak-kanak.

"Ini (had umur minimum 18 tahun) adalah tindakan yang bagus tetapi apa yang kita mahukan adalah pelaksanaan yang tegas dan tidak boleh kahwin sebelum umur itu.

"Sebenarnya seluruh negara perlu naikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun tetapi kalau ada loopholes (kelonggaran) yang membenarkan perkahwinan bawah umur itu masih jadi masalah.


Misalnya, dalam soal mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah atau pejabat menteri untuk berkahwin, kata beliau selepas rakaman program The Nation terbitan Bernama News Channel, pada Isnin.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Pada perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda.

Terutama kanak-kanak perempuan, kerana bimbang dengan risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut serta kesannya kepada masyarakat kelak, tegas baginda.

Sementara itu, Marina ketika ditanya mengenai pendidikan seks di Malaysia berkata selain aspek biologi, kurikulum pendidikan itu juga perlu merangkumi subjek interaksi dan hubungan sesama masyarakat khususnya cara berkomunikasi dan sikap hormat-menghormati.

Mengulas laporan dua wanita berusia 32 dan 22 tahun yang dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Terengganu, Marina berkata beliau kecewa dengan keputusan itu kerana dianggap mengaibkan individu.

"Dalam Islam anda tidak boleh melakukan sesuatu yang membawa kerosakan lebih besar kepada seseorang dan jika anda menyebabkan seseorang terasa malu atau trauma, saya kira itu kerosakan besar," katanya.

-- BERNAMA