WAKIL pengurusan komposer dan penyanyi Amir Jahari meminta Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menarik balik lagu Hasrat yang dimuatkan dalam video menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Pengurus Amir, Joe Lee dalam ciapan Twitternya menggesa Mas Ermieyati segera memadamkan lagu tersebut yang digunakan tanpa izin.

"Kepada @emysamsudin, bagi pihak @amirjaharimuzik sila padamkan video ni dengan penggunaan  tak berizin dari penulis lagu, lirik dan penyanyi #Hasrat iaitu @amirjaharimuzik

"Saya minta cara elok, sebelum saya ambil tindakan seterusnya. Hormati soal hakcipta pemilik karya," ciap Joe Lee.

Sebelum itu, Amir Jahari meluahkan rasa tidak puas hati kerana lagu ciptaannya itu digunakan untuk tujuan politik.

Katanya, dia tidak mahu Hasrat digunakan untuk tujuan atau agenda politik.

“Aku tak izinkan kau guna lagu aku,” ciapnya di Twitter.


Untuk rekod, Hasrat adalah ciptaan sepenuhnya Amir yang dijadikan runut bunyi untuk filem Imaginur lakonan Beto Kusyairy dan Diana Danielle.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar wang jaminan RM2 juta.