FEM 2026: Reformasi tatakelola bukan kempen mengejar tajuk berita, fasa sementara - PM Anwar

Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menegaskan pendirian yang jelas, berprinsip dan tidak akan berkompromi dalam soal tatakelola bagi memastikan kestabilan ekonomi negara jangka panjang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga tidak akan bertoleransi terhadap amalan rasuah dan menegaskan bahawa tiada pengecualian akan diberikan kepada mana-mana pihak, termasuk golongan yang mempunyai pengaruh atau hubungan luas.
Beliau menekankan bahawa akauntabiliti adalah tunjang kepada kredibiliti sesebuah negara, yang seterusnya menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Ini bukan sekadar kempen untuk mengejar tajuk berita (headlines), mahupun fasa yang bersifat sementara. Ia adalah pengakuan bahawa keyakinan yang berpanjangan bergantung kepada kepastian bahawa undang-undang terpakai secara saksama kepada semua.
"Apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, kepercayaan dapat dipulihkan dan institusi akan kembali mendapat kewibawaannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa aspek penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi, justeru agenda reformasi institusi akan terus diperkasakan tanpa henti dan tanpa perlu memohon maaf kepada mana-mana pihak.
Jelas beliau lagi, pengukuhan institusi adalah kritikal bagi memastikan integriti negara tidak bergantung kepada keperibadian individu, sebaliknya berpaksikan kepada sistem yang teguh.
"Peraturan mesti mengatasi individu. Reformasi mesti kekal bertahan melampaui kitaran politik," tegas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha-usaha tersebut kini mula membuahkan hasil apabila komuniti pelabur menunjukkan respons positif terhadap ketekalan dan kebolehramalan (dasar yang dibawa kerajaan.
Beliau berkata para pelabur kini melihat tatakelola yang lebih kukuh, hala tuju yang lebih jelas serta keseriusan Malaysia dalam mengekalkan kestabilan jangka panjang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


