PENGUMUMAN Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkaitan tempoh larangan merentas negeri berakhir 9 Jun lalu melegakan banyak pihak.

Malah, hari pertama selepas tempoh larangan tersebut tamat, jumlah kenderaan yang berada di jalan dan lebuh raya mulai meningkat.

Apatah lagi umat Islam masih lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Senario ini menunjukkan kebanyakan masyarakat Malaysia mengambil peluang untuk pulang ke kampung menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara.

Di sebalik cerita pulang ke kampung halaman, mungkin ramai yang sudah merasa bosan ‘terperap’ atau ‘terkurung’ di rumah masing-masing.

Hampir 4 bulan di kediaman masing-masing sudah pasti inginkan suasana yang berbeza. Apa kata ambillah peluang ini untuk melancong di dalam negara. Cuti-cuti Malaysia.

Banyak destinasi menarik boleh dipilih dan menjanjikan ketenangan seketika. Dengar cerita, begitu banyak tawaran dan pakej perlancongan yang telah dan sedang di rancang untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Bantu Rancakkan Ekonomi Tempatan

Bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang ditangguhkan oleh kerajaan kepada industri pelancongan baru-baru ini membolehkan pakej menarik disediakan oleh agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan.

Daripada hotel bertaraf 5 bintang hinggalah rumah enap desa, sudah pasti harga menarik pasti menanti.

Ada juga pengusaha hotel yang sudah mula tawarkan diskaun hingga 70 peratus dan kita boleh rebut selagi peluang masih ada.

Pengecualian cukai pelancongan juga boleh dimanfaatkan oleh sektor penerbangan untuk mempromosikan destinasi pilihan dan menawarkan tempat tarikan yang menawan.

Begitu banyak destinasi penerbangan yang boleh dipromosikan termasuklah Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Labuan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuantan, Sibu, Bintulu, Miri, Sandakan dan Tawau.

Kita harapkan agar ‘perang harga’ sektor penerbangan kembali semula. Kuasa beli pengguna akan meningkat apabila melancong.

Industri IKS tempatan juga mendapat manfaat sampingan. Kita juga boleh terus menyokong kempen ‘Buy Malaysia’.

Apabila kita banyak berbelanja di dalam negara sudah pasti ia akan merancakkan sektor ekonomi tempatan terutamanya dalam sektor pelancongan.

Untuk rekod, bilangan pelancong domestik meningkat pada tahun 2018 dengan merekodkan seramai 78.2 juta pelancong domestik berbanding dengan 70.5 juta pelancong pada tahun 2017.

Walaupun sasaran 92.8 juta pelancong tempatan sepanjang tahun 2020 agak sukar untuk dicapai namun, sokongan rakyat untuk terus melancong dalam negara diperlukan.

Dijangka kadar pengangguran meningkat, namun bantuan yang diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh krisis ini boleh digunakan sebaiknya untuk bercuti bersama keluarga dan membeli barangan buatan tempatan.


Patuhi Peraturan Ketika Rai Kebebasan

Saat kita raikan kebebasan dan sedang cuti-cuti Malaysia, sudah pasti setiap rakyat harus patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kita sentiasa harus berwaspada, menjaga kebersihan dan mengekalkan displin tinggi dalam apa jua keadaan.

Yang penting bebas dan selamat!


* Ts Dr Mohd Fahmy Abdullah ialah Penyelidik Utama ICoE-Rel dan merupakan teknologis profesional di dalam bidang pengangkutan dan logistik dari Malaysian Board of Technologist (MBOT)

** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI