KOTA BHARU: Isu bekalan air terawat yang dialami sebahagian besar rakyat Kelantan sejak sekian lama turut dirasai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini. 

Perkara ini diakui Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali yang memaklumkan masalah bekalan air bersih itu menjejaskan operasi hospital. 

Walaupun tiada kejadian pembedahan terpaksa ditangguhkan oleh kerana tiada air atau rawatan terjejas, namun saban hari masalah bekalan air sentiasa menjadi kekangan.

"Masalah air ini dah hampir 10 tahun membelenggu kami.

"Hampir setiap hari, bekalan air hanya mampu bertahan sehingga tengah hari sebelum terputus berikutan penggunaan tinggi di hospital," katanya ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Selasawati menarik perhatian hadirin selepas tampil mengajukan soalan semasa sesi soal jawab program berkenaan yang dikendalikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri di JPM (Undang Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

Beliau berkata setiap hari penggunaan air di hospital adalah tinggi sehingga mencecah 500 gelen bersamaan 1,893 liter.

Bagaimanapun, katanya, bekalan air yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan.

"Di hospital kapasiti pesakit hampir 1,000 orang dan jumlah kakitangan pula seramai 4,000 orang dan jumlah berkenaan tidak termasuk waris pesakit yang menjaga dan mengunjungi hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata pihaknya mahu penyelesaian berfasa diambil supaya masalah yang berlaku tidak berterusan.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan menjelaskan pihaknya dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang mengambil beberapa pendekatan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Tindakan sedang diambil dan ia mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.