MEKAH: Masalah ketegangan dan sakit otot dikenal pasti sebagai antara aduan paling kerap dialami jemaah haji, khususnya warga emas, susulan perjalanan jauh dan pergerakan fizikal yang berlebihan sepanjang melaksanakan ibadat.
Jurupulih Perubatan Fisioterapi, Azlinda Abdul Hamid berkata, kebanyakan jemaah yang mendapatkan rawatan fisioterapi dirujuk oleh doktor klinik selepas mengalami kesakitan terutamanya selepas melakukan tawaf dan saie.
“Kebanyakannya datang dengan ketegangan otot akibat berjalan jauh. Ada yang sampai terpaksa membongkok kerana menahan sakit,” katanya ketika ditemui di unit fisioterapi di sini.
Menurut Azlinda, purata 20 jemaah sehari mendapatkan rawatan fisioterapi, dengan angka itu meningkat kepada sekitar 30 pesakit sehari apabila menghampiri kemuncak ibadat haji.
Katanya, golongan warga emas mencatatkan jumlah tertinggi menerima rawatan, dengan bilangan lelaki dan perempuan hampir seimbang.
“Kebanyakan pesakit adalah warga emas yang menggunakan otot kaki secara berlebihan tanpa rehat mencukupi,” katanya.
Azlinda menjelaskan rawatan fisioterapi tidak tertumpu kepada urutan semata-mata, sebaliknya lebih menekankan senaman regangan dan latihan pemulihan otot.
“Kita fokus kepada senaman, sebab kita mahu jemaah faham badan mereka sendiri. Bila otot jadi fleksibel, sakit akan berkurang,” jelasnya.
Sekiranya senaman tidak mencukupi untuk mengurangkan kesakitan, barulah rawatan bantuan menggunakan peralatan dijalankan.
Daripada keseluruhan jemaah yang mendapatkan rawatan, Azlinda berkata sekitar 80 peratus menunjukkan kelegaan hanya melalui senaman dan regangan yang diajar.
“Lepas kita ajar senaman dan mereka faham, kebanyakan jemaah tak perlu datang semula. Mereka boleh urus sendiri,” katanya.
Baki 20 peratus pula memerlukan rawatan susulan atau pemantauan lanjut, bergantung kepada tahap kesakitan dan kondisi kesihatan masing-masing.