MEKAH: Tindakan pantas serta komunikasi jelas kapten pesawat haji KT051 dipuji jemaah selepas penerbangan berkenaan terpaksa melakukan pendaratan di Oman susulan masalah teknikal.
Menurut Zahrel Sham Ahmad dan isterinya Norani Abd Rahim, ketenangan kapten sepanjang insiden berkenaan berjaya meredakan kebimbangan, sekali gus memastikan lebih 200 jemaah berada dalam keadaan terkawal.
“Saya nak puji kapten kami, sangat tenang dan cara dia beri maklumat memang menyenangkan hati. Itu faktor utama jemaah rasa okey dan tidak panik,” kata Norani
BACA: Masalah teknikal, penerbangan KT051 selamat tiba di Mekah
Mengimbas detik kejadian, Zahrel berkata jemaah hanya menyedari sesuatu tidak kena apabila pesawat mula menurunkan ketinggian lebih awal dari jangkaan, kira-kira tiga jam sebelum tiba di Jeddah.
Bagaimanapun, kapten pesawat yang merupakan warga Malaysia memaklumkan secara berperingkat mengenai situasi dihadapi, termasuk keputusan mematikan enjin bermasalah dan melakukan pendaratan selamat di Oman.
“Kapten maklumkan masalah teknikal dengan jelas, minta kami jangan risau. Pendaratan sangat ‘smooth’ dan terkawal, jadi suasana dalam pesawat kekal tenang.
“Tidak cemas seperti yang dilaporkan. Kalau kapten tak buat pengumuman pun, suasana masih terkawal,” katanya.
Sementara itu, Norani berkata, urusan jemaah sepanjang berada di Oman berjalan baik walaupun pada peringkat awal tiada pegawai pengiring bersama jemaah.
Katanya, suami dan beberapa jemaah lain mengambil inisiatif untuk membantu menguruskan hal ehwal jemaah ketika berada di Oman bagi memastikan semua mereka dalam keadaan baik.
Menurutnya, ada jemaah tampil membantu menguruskan pergerakan, termasuk mengatur bas dan memberi keutamaan kepada warga emas serta mereka yang kurang sihat.
“Kami saling bantu. Yang uzur dan perlukan bantuan diminta naik dahulu. Semua jemaah beri kerjasama, jadi urusan jadi mudah,” katanya.
Beliau berkata pihak hotel dan wakil di Oman turut memberi bantuan kepada jemaah sepanjang tempoh menunggu keputusan pergerakan seterusnya.
Menurut Zahrel, kapten pesawat terus berkomunikasi dengan penumpang termasuk selepas pendaratan, memaklumkan perkembangan terkini dan keputusan pihak berkuasa penerbangan serta syarikat penerbangan nasional.
“Kapten sentiasa berhubung, beritahu kami makanan akan disediakan dan akan maklumkan keputusan seterusnya. Jadi semua tunggu dengan tenang,” kata Zahrel.
Akhirnya, selepas dua hari berada di Oman, jemaah KT051 dibawa meneruskan perjalanan ke Jeddah dan selamat tiba di Tanah Suci.
Walaupun berdepan lencongan penerbangan, jemaah menyifatkan insiden itu sebagai satu pengalaman berharga dan penuh hikmah.
“Walaupun ada lencongan, semuanya positif. Kami anggap ini anugerah dan hikmah sebelum menunaikan haji,” kata Norani.
Insiden itu turut mengeratkan hubungan sesama jemaah apabila mereka saling mengenali dan bekerjasama lebih awal sebelum tiba di Tanah Suci.