Skip to main content

Malaysia

Masjid Al-Aqsa wajib dipertahan, pencerobohan Israel cabul undang-undang antarabangsa

Zulkifli berkata pihaknya mengulangi solidariti teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan kedaulatan mereka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota. - Gambar fail/BERNAMA
Zulkifli berkata pihaknya mengulangi solidariti teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan kedaulatan mereka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pencerobohan peneroka haram Israel ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa dan Masjid Ibrahimi di Palestin ialah pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya mengecam sekeras-kerasnya siri provokasi melampau tersebut yang dilakukan di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan Israel.

“Masjid Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam dan garis merah yang wajib dipertahankan oleh seluruh umat Islam tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam. 

Zulkifli berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Wisma Putra dan menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan sewajarnya untuk membalas kebiadaban rejim Zionis serta menuntut kebertanggungjawaban mereka.

Beliau berkata pihaknya mengulangi solidariti teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan kedaulatan mereka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.

 

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya terus bersatu hati, memperbanyakkan doa dan bantahan demi mempertahankan kesucian Al-Haram Al-Sharif serta keselamatan rakyat Palestin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement