SIBU: Kerajaan Sarawak merancang membina masjid-masjid baharu yang menerapkan unsur seni bina masyarakat setempat yang berbilang kaum di kawasan penempatan baru yang bakal dibangunkan di sini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain menggambarkan masyarakat majmuk di Bahagian Sibu, ia juga bertujuan untuk berdakwah dan memberi kefahaman tentang ajaran Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya konsep ini telahpun dilaksanakan oleh beliau dalam pembinaan sebuah masjid di kawasan Piasau di Miri, selain Pusat Penerangan Islam (IIC) di Kuching sewaktu Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak, dengan kedua-dua premis itu menerapkan seni bina masyarakat Cina.

Berucap merasmikan Masjid Al-Qadim di sini malam tadi, beliau berkata perancangan ini telah dibincangkan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) Dr Annuar Rapaee.

"Dengan adanya masjid-masjid baharu yang kita bina di Bahagian Sibu nanti, ia akan dapat mempamerkan budaya dan cara orang Islam dalam mentadbir dan mengurus negeri," katanya.

Abang Johari berkata setakat ini dua masjid bersaiz besar dengan seni bina berlainan sedang dibina di Bandar Baru Sibu Jaya dan kawasan Perumahan Kemuyang di sini.

"Ini adalah satu lagi seni bina yang agak moden bagi menampung keperluan masyarakat kita di Sibu ini yang semakin berkembang," katanya.

Beliau turut menghargai usaha LAKIS pimpinan Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka dalam membaik pulih Masjid Al-Qadim yang dianggarkan berusia lebih 160 tahun dan yang tertua di Sarawak, dengan mengekalkan seni bina asalnya selain menambah baik bahagian dalaman.

Katanya, keunikan Masjid Al-Qadim itu mampu menarik pelawat terutamanya dalam kalangan mereka yang mencintai seni bina bangunan serta dapat memberi pengetahuan dan kesedaran tentang sejarah perkembangan dakwah Islam di Sibu serta kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA