GEORGE TOWN: Masjid Kapitan Keling di sini menawarkan pelbagai hadiah kepada kanak-kanak yang lengkap solat tarawih 20 rakaat sebagai inisiatif bagi memupuk semangat anak-anak jemaah sepanjang bulan Ramadan ini.

Hadiah diberikan berdasarkan cap pada buku khas yang ditandatangani Pengerusi masjid Datuk Faruk Raja Mohamed setiap kali selepas selesai solat tarawih selama 10 hari sejak malam 1 Ramadan, dan antara hadiah-hadiahnya nanti mungkin berupa peralatan permainan seperti kereta kawalan jauh, atau basikal, yang ditaja beberapa pihak.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata hadiah diberikan kepada kanak-kanak yang berjaya solat tarawih 20 rakaat bagi tempoh 10 hari dan sepanjang bulan puasa dengan pihaknya menyediakan tiga kali pemberian hadiah.

Beliau berkata ia sebagai galakan atau motivasi kepada kanak-kanak berkenaan bagi hadir ke Masjid Kapitan Keling menjalani solat tarawih dan sasaran pihaknya pada tahun ini seramai lebih 100 kanak-kanak hadir ke masjid.

"Inisiatif itu bukan sahaja memberi semangat kepada kanak-kanak, malah mereka berazam mahu menghabiskan solat tarawih sehingga malam terakhir Ramadan," katanya kepada Bernama malam tadi.

Turut hadir pada hari pertama program itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

-- BERNAMA