KUALA LUMPUR: Masjid perlu mencari pendekatan inovatif, bukan sahaja bertujuan untuk pengimarahan, tetapi pada masa sama menarik kehadiran lebih ramai golongan muda.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hassan, masjid perlu berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi turut menjadi pusat pembangunan insan dan aktiviti kemasyarakatan.
“Dalam masa yang sama, kita boleh menonton perlawanan akhir Piala Dunia. Kita ingin menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang bukan hanya pusat kerohanian untuk umat Islam beribadah, tetapi juga tempat yang memberi manfaat melalui program-program inovatif dan bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Zulkifli berkata demikian ketika ditemui pada program Rakan Masjid X Final Piala Dunia 2026, di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara, pada Isnin.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sekadar memberi peluang kepada anak muda menonton perlawanan akhir Piala Dunia, malah bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang lebih mesra masyarakat.
Zulkifli berkata pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pihak masjid untuk mendekati generasi muda.
Beliau berkata program berkenaan turut berupaya memperkukuh ukhuwah, perpaduan dan hubungan kemasyarakatan dalam kalangan penduduk setempat.
Zulkifli menegaskan pembinaan jati diri generasi muda dan masa depan negara perlu bermula dengan pengukuhan nilai serta pembentukan jiwa yang dekat dengan institusi masjid.