Masjid, surau perlu bebas pengaruh, cengkaman politik - Sultan Selangor

Baginda bertitah masjid bukan gelanggang politik, jauh sekali tempat untuk menyemai kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam, sebaliknya berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa masjid dan surau di negeri ini hendaklah bebas sepenuhnya daripada pengaruh dan cengkaman politik kepartian, serta tidak boleh dijadikan medan untuk meraih sokongan atau kepentingan peribadi mana-mana ahli politik.
Baginda bertitah masjid bukan gelanggang politik, jauh sekali tempat untuk menyemai kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam, sebaliknya berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Beta juga tidak mahu dengar ada dalam kalangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat secara langsung dalam politik kepartian, termasuklah memegang apa-apa jawatan politik, dan dalam masa yang sama dilantik untuk menjadi nazir dan imam masjid dan surau kerana perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir-Nazir dan Imam-Imam Masjid melibatkan 850 orang dari seluruh negeri Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa jawatan nazir dan imam bukanlah jawatan politik untuk direbutkan bagi kepentingan peribadi, sebaliknya satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.
Sehubungan dengan itu, baginda menegaskan tidak mahu menerima sebarang aduan berkaitan perebutan jawatan dalam pengurusan masjid dan surau kerana ia hanya akan mencetuskan perasaan tidak puas hati, permusuhan serta perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda.
Menyentuh aspek kewangan, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa pengurusan dana masjid dan surau hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan integriti, serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Justeru, baginda mahu laporan kewangan dikemukakan setiap empat bulan bagi memastikan tadbir urus yang baik dan mengekalkan kepercayaan awam.
“Beta tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan dana masjid dan surau kerana wang masjid ialahhasil sumbangan orang ramai dan milik orang Islam, maka wang tersebut hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk manfaat umat Islam dengan berpandukan hukum syarak.
“Beta tidak mahu agama Islam ini dipandang serong oleh penganut agama lain. Cukup-cukuplah kesucian agama Islam dicemari dengan kisah-kisah penyelewengan yang melibatkan orang Melayu Islam sehingga ada dalam kalangan mereka yang telah diheret ke mahkamah akibat amalan rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa,” titah baginda
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


