GUA MUSANG: Pihak pengurusan Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra di Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan bersiap sedia menyambut kedatangan bulan Ramadan dalam suasana yang agak berbeza.

Walaupun aktiviti di bulan Ramadan perlu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan mengikut norma baharu, ia tidak menjejaskan persiapan menceriakan masjid.

Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, Othman Saufi berkata, biarpun kerajaan membenarkan solat tarawih di semua negeri bermula 13 April ini, namun pihak pengurusan masjid mengambil langkah memerangi pandemik COVID-19 yang masih berjalan.

Katanya, mereka juga mengharapkan jemaah yang hadir turut menjaga SOP yang ditetapkan pihak kerajaan.

"Program yang dijalankan di masjid ini mungkin tidak sama dengan apa yang dilakukan tahun lepas. Tahun ini program melibatkan golongan belia dan remaja mungkan akan diadakan secara dalam talian.

"Mungkin juga majlis berbuka puasa tidak akan diadakan secara terbuka cuma makanan berbungkus sahaja akan disediakan di masjid kerana kita bimbang ahli jemaah tidak mengikut SOP yang ditetapkan," katanya kepada Astro AWANI.

Bilal Rawatib Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, Nik Azim Nik Abdullah berkata, segala persiapan telah dilakukan sejak minggu lalu termasuk membersihkan kawasan dalam dan luar masjid.

"Kami telah membuat persiapan seminggu yang lalu selain membersihkan kawasan dalam dan luar masjid untuk menyambut bulan yang kita nanti-nantikan ini bagi mengumarahkan, meriahkan bulan Ramadan," katanya.

Masjid Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, yang terletak di laluan jalan utama dari Gua Musang ke Kuala Lumpur, merupakan masjid daerah terbesar di Kelantan dengan keluasan tanah sebesar 11 hektar.

Masjid itu bukan sahaja dikunjungi oleh penduduk sekitar malahan menjadi tempat tumpuan persinggahan golongan musafir.