MELAKA: Melaka bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan apabila terbinanya sebuah masjid terapung berbentuk cangkerang di Pulau Besar yang dijangka bermula pada awal tahun depan, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Beliau berkata masjid yang menelan kos RM30 juta itu akan menggunakan bahan aluminium dan mampu menampung seramai kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Katanya, projek tersebut masih dalam proses perbincangan dan pembinaan akan bermula selepas mendapat sejumlah dana daripada Kerajaan Persekutuan.

"Reka bentuk masjid yang unik terletak di pulau itu dilihat secara tidak langsung mampu menjadi satu tarikan baharu kepada pelancong dan paling penting menyebarkan syiar Islam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini, hari ini.

Pelancaran tabung yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan berjaya mengutip sebanyak RM200,000 hari ini, melalui saham wakaf masjid berkenaan.

-- BERNAMA