KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa perlu melihat isu Islamofobia melangkaui retorik dan mengenal pasti langkah-langkah untuk menangani keadaan yang wujud serta sikap yang menyumbang ke arah perbuatan keji ini, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Antarabangsa memerangi Islamofobia pada 15 Mac (Rabu), beliau berkata Malaysia bersedia untuk menyumbang kepada usaha yang efektif dalam menangani Islamophobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan mereka.

"Islam adalah sebuah agama yang berlandaskan keamanan dan ajarannya yang benar menggalakkan penerimaan dan menghargai kepelbagaian. Adalah menyedihkan kerana pada zaman ini, umat Islam masih dihalang daripada mengamalkan agama mereka dengan bebas dan ditindas kerana kepercayaan mereka.

"Malaysia amat kesal kerana perasaan syak wasangka, diskriminasi dan kebencian terhadap umat Islam telah meningkat kepada "kadar wabak" sepertimana yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Manifestasi tindakan Islamofobia menjurus ke arah ekstremisme dan keganasan. Perkara ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah keamanan dan keharmonian dunia.," kata Zambry menerusi kenyataan itu.

Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam memupuk keamanan, keharmonian dan kestabilan adalah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berbilang kaum dan agama, yang turut diperkukuhkan lagi melalui konsep 'Malaysia Madani'.

-- BERNAMA