PUTRAJAYA: Masyarakat terutamanya umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlalu taasub kepada mana-mana individu, sebaliknya perlulah sentiasa berpegang kepada neraca ilmu dan fakta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata semua pihak diminta merujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) berkaitan apa-apa urusan pentauliahan melibatkan pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam.

"Ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

"Sikap taasub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na'im dalam pada itu berkata JPM (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan oleh sebuah akhbar tempatan berkaitan "Eksploitasi Nasab Suci Nabi".

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya JAIN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan oleh akhbar tersebut.

"JPM (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata kehadiran lelaki warga Algeria Mawla Muhammad Amin al-Idrisi yang mendakwa sebagai cicit Nabi Muhammad SAW ke negara ini untuk memberi ceramah agama, akan terus dipantau rapi.

Beliau berkata jika lelaki warga Algeria itu dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang, maka pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan.

-- BERNAMA