Masyarakat di negara ini disaran mempelajari dan menguasai bahasa isyarat bagi memudahkan komunikasi serta menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, kata Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Amir Hamidi Abdul Manan.

Beliau berkata langkah itu juga dapat mengelakkan golongan OKU pendengaran tersisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan.

"Ia (bahasa isyarat) merupakan bahasa yang perlu dikembangkan, dibangunkan serta didedahkan penggunaannya termasuk kepada mereka yang normal kerana ia adalah bahasa pertuturan," menurut Amir Hamidi dalam bahasa isyarat yang kemudian diterjemahkan secara lisan oleh jurubahasa isyarat pada program itu.

Amir Hamidi menjadi panel dalam sesi perkongsian bersama Children of Deaf Adult (CODA) - 'Isu, Cabaran dan Keperluan' yang merupakan antara pengisian program Kempen Kesedaran Orang Pekak anjuran Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan pusat membeli-belah Nu Sentral di sini, pada Ahad.

Beliau berkata kemudahan teknologi pada masa ini juga dapat membantu masyarakat mempelajari bahasa isyarat dengan mudah.

-- BERNAMA