Dalam usaha memerangi COVID-19, rakyat Malaysia tidak boleh melakukannya secara sendirian sebaliknya masyarakat harus bergabung menentang virus maut itu.

Exco Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), Norazam Ab Samah berkata, negara maju dapat mengatasi pandemik itu dengan baik kerana mereka cukup kuat dari segi kempen kesedaran yang dilakukan bersama masyarakat.

Tambahnya, masyarakat tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan masyarakat masih boleh memperincikan dan memperkamaskan prosedur operasi standard (SOP) dari kerajaan.

“SOP diberikan kerajaan sebagai satu panduan umum yang boleh diperkemaskan, diperinci lagi. Saya ambil contoh Kawasan Rukun Tetangga (KRT), mereka boleh ambil alih tugas kerajaan sekarang.

“Mereka boleh duduk berbincang, rancang program seperti pemetaan risiko pandemik di kawasan mereka, di mana kawasan merah, bagaimana nak umumkan hebahan penting, boleh guna masjid atau rumah ibadat lain untuk umumkan situasi terkini COVID-19.

“Ini semua harus dipikul masyarakat itu sendiri dan tidak boleh lagi bergantung kepada kerajaan sahaja,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Norazam berkata MERCY Malaysia menyasarkan untuk memasang tempat membasuh tangan sekurang-kurangnya di 30 buah sekolah di seluruh Malaysia.

“Dalam fasa pertama, kami menyasarkan 30 buah sekolah di seluruh Malaysia, Projek ini anggaran kosnya sebanyak RM300,000. Mudah-mudahan dalam fasa kedua nanti, kita sasarkan lebih dari itu.

“Dari segi penggunannya, kami cuba lihat dari semasa ke semasa untuk letakkan tempat membasuh tangan itu di tempat paling sesuai kerana setiap sekolah mempunyai reka bentuk berbeza,” ujarnya.

Tambahnya, program itu merupakan inisiatif MERCY Malaysia dan pihak swasta dalam membantu sekolah melaksanakan usaha pencegahan COVID-19 dengan lebih baik apabila fasa persekolahan bermula.