Masyarakat tidak perlu bimbang kajian pelaksanaan semula UPSR, PT3 - Bekas KP Pendidikan

Alimuddin berkata, sejak kecil murid sentiasa melalui ujian bulanan, pertengahan tahun, akhir tahun dan peperiksaan besar, justeru perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak perlu bimbang dengan cadangan pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana peperiksaan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang telah lama menjadi amalan di sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, sejak kecil murid sentiasa melalui ujian bulanan, pertengahan tahun, akhir tahun dan peperiksaan besar, justeru perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.
"Kita tak perlu berasa bimbang dan ini adalah ujian dan bukanlah satu yang luar biasa kerana kita pun sejak kita kecil dulu di sekolah, sentiasa saja ada ujian-ujian. Ada ujian bulanan, pertengahan tahun, akhir tahun dan kemudian peperiksaan besar seperti UPSR dan SPM. Jadi, tidak perlu bimbang dengan ujian-ujian tersebut.
"Saya memang positif untuk mengembalikan semula PT3 dengan UPSR. Ada pihak dulu mengatakan bahawa kita terlalu exam-oriented, terlalu menekankan tentang peperiksaan," katanya dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Alimuddin berkata, penilaian dalam pendidikan tidak hanya tertumpu kepada ujian bertulis semata-mata, sebaliknya merangkumi tiga komponen utama iaitu kognitif, psikomotor dan afektif.
Menurutnya, penilaian kognitif melalui peperiksaan adalah kaedah paling mudah dan praktikal untuk menilai keupayaan minda pelajar dalam sesuatu subjek.
"Ini membolehkan ibu bapa untuk meningkatkan pengetahuan anak-anak sekiranya mereka mendapat keputusan yang kurang baik. Jadi saya rasa ini merupakan satu keadah yang paling baik dalam sistem pembelajaran. Boleh dikatakan ini sebagai check and balance.
"Daripada situ, ibu bapa tahu sejauh mana keupayaan anak-anak mereka dan mudah untuk mereka membantu melalui kelas-kelas tuisyen atau melihat sendiri tentang perkembangan anak-anak atau bertemu dengan guru-guru di sekolah untuk memastikan anak-anak mereka berjaya di dalam ujian-ujian yang akan datang," katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji pelaksanaan semula peperiksaan UPSR dan PT3 susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa dengan sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu peperiksaan masih menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan masyarakat dan kerajaan mengambil maklum kebimbangan serta pandangan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


