KANGAR: Masyarakat Tionghoa di sekitar Kangar menzahirkan rasa bangga dan terharu apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat menyantuni mereka pada Majlis Sambutan Chap Goh Meh DUN Indera Kayangan 2026 yang berlangsung di Pekarangan Parkir Ten Ten, di sini, pada Selasa.
Kunjungan mesra baginda berdua ke kawasan Jalan Jublee Perak bukan sekadar memenuhi undangan, malah dilihat sebagai manifestasi hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat pelbagai kaum di negeri Perlis.
Advertisement
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, sambutan itu bukan hanya acara tahunan, tetapi menjadi wadah menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
“Majlis ini melambangkan kebersamaan erat antara institusi raja yang disayangi, kepimpinan negeri, agensi kerajaan dan rakyat Perlis. Kehadiran Tuanku amat dihargai oleh masyarakat setempat,” katanya.
Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim.
Program tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Chap Goh Meh selain memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Gan turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan negeri yang disifatkannya sentiasa komited memupuk keharmonian dan perpaduan.
“Inilah wajah sebenar Perlis - sebuah negeri yang harmoni dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
"Semangat perpaduan ini perlu diperkasakan agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara inklusif dan mampan,” ujarnya.
Sebagai simbolik perasmian, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan acara menggaul 'Lao Shang', tradisi masyarakat Cina yang melambangkan harapan dan kemakmuran.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk pancaragam, tarian bunga klasik Cina, demonstrasi Chenshi Taichi, serta persembahan gendang Ethereal.