Kementerian Pertahanan menafikan wujudnya dua surat palsu berkaitan perolehan kontrak membabitkan pembekalan perabot dan perkhidmatan bas serta kenderaan yang kononnya mendapat sokongan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Pegawai Tugas-tugas Khas 2 Mohamad, Rafizal Ali berkata, pihak kementerian mengetahui kewujudan surat berkenaan masing-masing pada 9 Disember 2018 dan 17 Januari 2019.

“Surat-surat itu pada awalnya hanya berlegar dalam cakap-cakap sebelum saya sendiri menerimanya.

“Ada dua individu yang kita cuba dapatkan dan maklumat dan telah diserahkan kepada pihak polis. Mereka adalah orang luar dan tiada kaitan dengan kementerian,” katanya.

Rafizal berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada Selasa.

Katanya, projek pembekalan perabot dan perkhidmatan bas itu masing-masing berpangkalan di Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

Mengulas lanjut, surat pertama bertarikh 9 Disember 2018 daripada sebuah syarikat bernama Nasa Setia Enterprise yang memohon sokongan khas daripada Mohamad berhubung pembekalan perabot untuk Angkatan Tentera Malaysia yang turut tertera cop daripada pejabat menteri.

Selain tandatangan dan cop menteri, surat berkenaan turut dilengkapi nota arahan Mohamad bertulis ‘sila uruskan permohonan kepada syarikat ini bagi pembekalan perabot negeri Kelantan dan Perak’.

Surat kedua pula bertarikh 17 Januari 2019 daripada Bahagian Perbendaharaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam, Jabatan Tentera Laut yang menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat iaitu TMJ Mesra Travel & Tours Sdn. Bhd.

Turut disertakan adalah sijil pelantikan sebagai syarikat pembekal bagi tempoh kontrak selama lima tahun bermula Februari 2019 sehingga Februari 2024.

Bagaimanapun pihak kementerian sempat memintas kedua-dua projek berkenaan sebelum ia sempat dilaksanakan.

“Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, ingin ditegaskan bahawa tiada surat tawaran seperti dalam surat tersebut, dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

“Sehubungan itu, laporan polis ini dibuat bagi mengelak sebarang kesan dan akibat yang tidak baik daripada pemalsuan dan penyalahgunaan nama dan pejabat menteri serta kementerian seperti kedua-dua surat palsu ini,” jelasnya.