Skip to main content

Malaysia

MATTA mohon semak semula pengecualian subsidi diesel kepada pengangkutan pelancongan

KUALA TERENGGANU, 1 Julai -- Pengguna, Mohd Iffat Mohd Zain, 35, mengisi minyak melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi menikmati harga subsidi RM2.10 seliter ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Tok Adis hari ini._BERNAMA
MATTA berkata langkah mengecualikan pengendali pengangkutan pelancongan berlesen daripada program subsidi diesel boleh menjejaskan industri pelancongan dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memohon kerajaan menyemak semula keputusan mengecualikan pengendali pengangkutan pelancongan berlesen daripada program subsidi diesel.

Presiden MATTA Nigel Wong dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bukan sahaja boleh menjejaskan industri pelancongan tetapi juga rakyat Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut.

Beliau menyangkal kenyataan menyifatkan subsidi diesel untuk pengusaha pengangkutan pelancongan hanya memberi manfaat kepada pelancong asing kerana kenderaan pelancongan berlesen juga memberi perkhidmatan kepada pelancong tempatan.

Wong berkata pengusaha pengangkutan pelancongan menyediakan perkhidmatan untuk percutian domestik, kumpulan sekolah, acara korporat, perjalanan insentif, ziarah keagamaan, lawatan pendidikan dan program komuniti.

“Oleh itu, tidak tepat untuk membuat andaian bahawa subsidi diesel bagi pengusaha pengangkutan pelancongan hanya akan memberi manfaat kepada pelancong asing. Ini mengabaikan realiti bagaimana industri pengangkutan pelancongan kita beroperasi.

“Keputusan ini jika tidak diubah, akan menaikkan tambang bagi rakyat Malaysia dan mungkin memaksa mereka mempertimbangkan untuk menggunakan penyedia perkhidmatan tidak berlesen,” katanya. 

Wong berkata pengecualian daripada subsidi diesel akan meningkatkan kos operasi secara langsung  kepada pengusaha pengangkutan pelancongan dengan kos tambahan itu tidak dapat dielakkan untuk dipindahkan melalui tambang lebih tinggi dan pakej pelancongan lebih mahal kepada rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa.

Langkah itu boleh menjejaskan faktor mampu milik yang menjadi pemacu pelancongan domestik dan ketibaan pelancong asing ketika Malaysia mempergiat kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Perkhidmatan pelancongan mampu milik akan menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi dalam negara selain meningkatkan daya tarikan negara kepada pelawat antarabangsa, sekali gus membawa kesan ekonomi kepada sektor hotel, restoran, pusat tarikan, peruncit, pengusaha pengangkutan dan komuniti setempat.

Beliau berkata manfaat ekonomi jangka panjang yang dijana menerusi aktiviti pelancongan yang lebih rancak juga berpotensi mengatasi kos penyediaan subsidi diesel bersasar kepada pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen.

Sehubungan dengan itu, MATTA memohon Kementerian Kewangan (MOF) menyemak semula pengecualian pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen daripada program subsidi diesel selain mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pihak berkepentingan industri bagi membangunkan mekanisme subsidi bersasar yang ditadbir urus dengan baik.

Sokongan terhadap pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen harus dilihat sebagai pelaburan dalam pertumbuhan ekonomi, pekerjaan serta daya saing jangka panjang Malaysia dan bukannya sekadar kos, menurut persatuan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement