Skip to main content

Malaysia

Pengurusan wakaf perlu amanah, berintegriti dan profesional - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) melakukan gimik pelancaran Program Semarak Wakaf Perdana 2026 hari ini.  - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) melakukan gimik pelancaran Program Semarak Wakaf Perdana 2026 hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pengurusan institusi wakaf perlu dijalankan secara amanah, berintegriti dan profesional demi manfaat pembangunan ummah.
  • Kerajaan mengumumkan tambahan peruntukan RM30 juta untuk mempercepat projek pembangunan wakaf di Pulau Pinang, melibatkan pembinaan rumah mampu milik dan unit komersial.
  • Pembangunan ini bertujuan memperluas peluang pemilikan kediaman dan ruang niaga kepada umat Islam serta usahawan Bumiputera tempatan di Pulau Pinang.
Advertisement

GEORGE TOWN: Pengurusan institusi wakaf perlu dilaksanakan secara amanah, berintegriti dan profesional bagi memastikan aset umat Islam dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan ummah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembangunan tanah wakaf bukan sahaja berperanan memelihara harta umat Islam, malah berpotensi menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat menerusi penyediaan kediaman mampu milik dan ruang perniagaan. 

Anwar berkata sejarah membuktikan institusi wakaf memainkan peranan penting dalam pembangunan ilmu dan pendidikan, termasuk membiayai universiti serta pusat pengajian seperti Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. 

Advertisement

"Kalau kita lihat sejarah, wakaf ini telah membiayai universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian. Sebab itu, pengurusan wakaf mesti dibuat dengan baik, integriti dan amanah," kata beliau ketika berucap pada Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan wakaf di Pulau Pinang.

Advertisement

Beliau berkata inisiatif pembangunan wakaf di Pulau Pinang itu boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam mengoptimumkan aset wakaf demi manfaat rakyat.

Menurut kenyataan media Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sebanyak RM145 juta diperuntukkan daripada Tabung Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Negeri Pulau Pinang bagi membangunkan tiga tapak tanah wakaf. 

Pembangunan itu melibatkan penyediaan 420 unit rumah mampu milik Rumah Mutiaraku (RMKu) kategori C2 serta 12 unit komersial di Permatang Tok Kandu di Permatang Pauh, Bagan Lalang di Butterworth, dan Permatang Damar Laut di Bayan Baru. 

Pembangunan berkenaan bertujuan memperluas peluang umat Islam di Pulau Pinang untuk memiliki kediaman, selain menyediakan ruang niaga kepada usahawan Bumiputera tempatan.

Rumah yang dibangunkan akan didaftarkan atas nama MAINPP dan ditawarkan melalui kaedah sewaan atau konsep sewa untuk pajakan (Rent To Lease).

Daripada keseluruhan pembangunan itu, projek di Permatang Tok Kandu memberikan manfaat kepada Masjid Batu, Permatang Pauh, manakala pembangunan di Bagan Lalang berkait dengan tujuan wakaf Masjid Sungai Lokan, Sungai Dua.

Sementara itu, pembangunan 160 unit rumah mampu milik di Permatang Damar Laut akan memberikan manfaat kepada Madrasah Khairiah Islamiah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement