RAKYAT Malaysia yang majoriti pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah akan menyambut Maulid Nabi pada Sabtu, 9 November bersamaan 12 Rabiul Awwal 1441 Hijrah.

Sebagaimana kebiasaan, masjid-masjid di banyak kariah seluruh negara akan mengadakan majlis yang lengkap dengan perarakan pada Sabtu yang kebetulan jatuh pada hari cuti. Bagi negeri-negeri yang berhujung minggu pada Jumaat dan Sabtu, hari berikutnya – Ahad merupakan hari cuti.

Tidak banyak perubahan, sambutan Maulid tidak akan sunyi dari polemik dan perdebatan yang timbul dari puak-puak yang berpendapat apa apa bentuk sambutan memperingati hari kelahiran Rasullullah, Nabi Muhammad SAW adalah bidaah.

Elok kita dapatkan pencerahan yang boleh diperolehi dengan mengamati tulisan mufti Wilayah Persekutuan melalui paparan Bayan Linnas; (muftiwp.gov.my ) kali ini paparan ke-80: Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul.

Walaupun diterbitkan pada 11 Disember 2016, tulisan Sahibul Samahah Mufti Wilayah tetap terpakai.
Bermula dari fakta sejarah, Datuk Mufti mengambil contoh sambutan terawal lengkap dengan persembahan syair pembesar terawal.

Pendapat-pendapat bercanggah berserta fatwa ulama juga diketengahkan bagi tujuan mendapat pandangan yang menyeluruh.

Menurut Datuk Mufti, sebarang sambutan perlu berjalan pada kadar patuh Syariah termasuk menjaga batas pergaulan dan aurat serta penyediaan pengisian seperti tazkirah dan ceramah dan mengelak sebarang maksiat.

Lebih tepat, peluang ini digunakan untuk menghebah dan mempelajari riwayat Rasullullah SAW, penekanan mengikut Sunnah dan salawat.

Selebihnya, pembaca dijemput melawat ruangan Bayan Linnas untuk pencerahan yang lebih jelas.

Tiba Sabtu nanti, tidak perlu ragu-ragu untuk menyambut Maulidur Rasul dengan penuh keyakinan dan penghayatan.