MALAYSIA
Maut dilanggar penjenayah: Hajat Aqif sambung pengajian tidak kesampaian - Bapa

Che Faizal kelihatan sugul semasa menguruskan pengebumian anak sulungnya. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: “Geram memang geram, tapi negara kita ada undang-undang jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,”
Demikian luahan Che Faizal Che Mohd, 44, bapa kepada mangsa kemalangan langgar lari yang meragut nyawa anak sulungnya, Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim, 18, dalam kejadian di Jalan Temiang berhampiran Simpang Bukit Jong dalam kejadian pada Rabu.
Menurut Che Faizal, ketika kejadian anaknya keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk ke tempat kerja seperti biasa, namun sempat mengejutkannya sebelum bertolak.
“Pukul 5.30 pagi saya kebetulan tidur di luar. Dia kejut saya untuk salam, tapi salam dia lain macam. Biasanya dia akan cium tangan saya, tapi kali ini dia cuma cium tangan dia sendiri. Rupanya itu salam terakhir,” katanya pada Rabu.Beliau ditemui selepas selesai urusan pengebumian anaknya, Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim di Tanah Perkuburan Islam Maqribah Salimah Taman Zaitun Indah Sikamat sekitar jam 6 petang.
Katanya, berita berhubung kehadian diterima melalui panggilan daripada pihak berkuasa yang memeriksa pemilikan motosikal terlibat dalam satu kemalangan.
“Dia maklum anak terlibat kemalangan dan saya terus bergegas ke lokasi kejadian. Sampai di sana, memang dia sudah tiada. Motosikal dia hancur, tayar pun tercabut,” katanya yang bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.
Kongsinya, anak sulung daripada lima beradik itu bekerja di sebuah stesen minyak sejak Mei lalu dan sepatutnya melanjutkan pelajaran dalam bidang marin di sebuah kolej di Kemaman, Terengganu bermula 5 Oktober ini.
“Segala persiapan sudah dibuat, cuma tinggal nak bayar yuran. Dia pun dah rancang untuk berhenti kerja bulan September. Sebelum ini dia tolak tawaran belajar di Hulu Terengganu sebab tak minat dengan kursus ditawarkan.
“Namun hajat sambung pengajian itu tidak kesempaian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, motosikal yang ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandu suspek dikenali sebagai R. Puvarasan, 28.
Suspek yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah itu dikatakan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan memecut kenderaan sebelum hilang kawalan dan merempuh mangsa.
Che Faizal mengakui timbul rasa marah dan dendam atas apa yang berlaku, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Memang ada marah, memang ada dendam, tapi kita ada undang-undang. Bila suspek ditangkap nanti, biarlah mahkamah yang tentukan hukuman,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami