Skip to main content

Malaysia

Mayat bayi cukup sifat ditemui dalam tandas di Melaka

Astro AWANI
Mayat bayi berkenaan ditemui pekerja pembersihan yang ingin membersihkan tandas awam berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis. - Astro AWANI

MELAKA TENGAH: Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemukan di tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, pada Jumaat.

Bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditinggalkan dengan dibalut menggunakan telekung sebelum diletakkan ke dalam beg kain.

Advertisement

Kejadian itu disedari kira-kira pukul 9.40 pagi oleh pekerja pembersihan yang ingin membersihkan tandas awam berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Saksi kejadian itu, Baharudin Bachik, 57, berkata dia cuba membuka bungkusan yang ditinggalkan di atas meja di ruang persalinan bayi sebelum terkejut apabila mendapati bungkusan itu mengandungi mayat seorang bayi.

“Ketika saya cuba buka bungkusan itu, saya terkejut apabila ternampak anggota badan bayi yang memang cukup sifat yang masih bertali pusat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian mendapati orang ramai memenuhi ruang tandas awam berkenaan sementara menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy, menerusi perkongsian di Facebook meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap kejadian berkenaan.

Menurut beliau, insiden itu amat menyedihkan lebih-lebih lagi berlaku pada pagi Jumaat.

 

Must Watch Video