KUALA BERANG: Mayat seorang bayi lelaki ditemukan di dalam tangki pam tandas perempuan di Masjid Kampung Pasir Simpul, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Simpul Muhammad Mustaffa berkata mayat ditemukan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan petugas kebersihan masjid itu pada 7 malam ketika sedang mencuci tandas.

"Selepas mencuci tandas, dia mengepam tandas dan ketika itu keluar cecair seakan darah yang berwarna merah pekat berserta dengan bau amat busuk.

"Lelaki berkenaan yang menyangkakan pam tandas tersumbat terus mencungkil tangki pam tandas itu dengan kayu dan kemudian terkeluar tangan bayi yang telah mereput," katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan di sini hari ini.

Muhammad berkata petugas kebersihan terbabit yang terkejut dengan penemuan mayat bayi itu segera menghubunginya sebelum beliau bergegas ke masjid dan menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi mengesahkan penemuan terbabit dan memaklumkan bayi cukup sifat itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum dijumpai.

"Suspek terlibat masih dikesan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA