KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan ditemukan dalam sebuah beg dengan dibalut kain tuala berwarna merah jambu, ditinggalkan di tepi pagar di Jalan Sri Rejang 3, Taman Sri Rampai di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata mayat yang dipercayai ditinggalkan di lokasi kejadian dalam tempoh kurang 12 jam itu ditemukan oleh seorang lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai tukang sapu pada kira-kira pukul 8.00 pagi.

"Tiada sebarang kecederaan dan dokumen pengenalan ditemukan pada bayi itu dan dia disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dipanggil membantu siasatan di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

Sementara itu dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya akan memanggil ahli keluarga seorang selebriti susulan penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan sekeping gambar keluarga selebriti berkenaan meraikan Aidilfitri di Hulu Kelang, Ampang.

"Terdapat lebih kurang 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan dan majlis itu dijalankan tanpa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara iaitu program ziarah hari raya.

"Kes masih dalam siasatan dan polis akan memanggil semua terlibat untuk memberikan keterangan lanjut," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA