Skip to main content

Malaysia

Mohd Shuhaily kembali ke Bukit Aman?

Mohd Shuhaily dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditempatkan di bawah pejabat Ketua Polis Negara. - Gambar fail/Bernama
Mohd Shuhaily dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditempatkan di bawah pejabat Ketua Polis Negara. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia dan ditempatkan di bawah pejabat Ketua Polis Negara.
  • Beliau sebelum ini terlibat kontroversi selepas video memarahi dan mencederakan dua anggota polis di KLIA tular pada September lalu.
  • Pertukaran Mohd Shuhaily berkuat kuasa 24 November, namun pengesahan lanjut sedang diperoleh daripada Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditempatkan di bawah pejabat Ketua Polis Negara.

Memetik laporan sebuah portal tempatan, berdasarkan notis pertukaran yang dikeluarkan, Mohd Shuhaily kini ditempatkan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN dengan menyandang pangkat Komisioner Polis (CP), yang pernah disandangnya sebelum ini.

Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berhubung perkembangan itu.

Advertisement

Notis yang didakwa ditandatangani Khalid itu menyatakan pertukaran berkenaan berkuat kuasa pada 24 November lalu.

Perkembangan itu menyusul selepas Mohd Shuhaily sebelum ini terpalit kontroversi susulan penularan video yang memaparkan beliau memarahi dua anggota polis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), pada 28 September lalu.

Advertisement

Video berkenaan tular di media sosial dan menarik perhatian awam apabila turut memaparkan tindakan fizikal terhadap individu terbabit.

Susulan insiden itu, beberapa laporan polis dibuat, manakala Mohd Shuhaily menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pada 1 Oktober lalu, beliau menjelaskan insiden itu berlaku ketika operasi penguatkuasaan terhadap seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket ulat di KLIA.

Beliau turut menjelaskan operasi berkenaan hanya membabitkan pegawai AKPS dan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), selain menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan kerajaan berhubung kontroversi itu.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis dalam kejadian di KLIA pada September lalu.

Susulan pertuduhan itu, Saifuddin Nasution berkata kementeriannya memutuskan untuk menamatkan penempatan Mohd Shuhaily secara pinjaman di AKPS.

Bagaimanapun, Mohd Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander, selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.

Pada 14 November lalu, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan berhubung kepulangan Mohd Shuhaily ke pasukan polis.

Beliau turut menjelaskan Mohd Shuhaily sedang menjalani kontrak dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Shuhaily sebelum ini pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dipinjamkan ke AKPS sebagai Ketua Pengarah pada 1 Julai tahun lalu.

Must Watch Video

Advertisement