Skip to main content

Dunia

UK sahkan serangan siber terhadap sistem jabatan kerja dan pencen

Serangan itu merupakan insiden terbaharu dalam siri insiden keselamatan siber yang melanda UK. - Gambar fail
Serangan itu merupakan insiden terbaharu dalam siri insiden keselamatan siber yang melanda UK. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Jabatan Kerja dan Pencen UK mengesahkan sistemnya menjadi sasaran serangan siber, menyebabkan beberapa perkhidmatan dalam talian tergendala.
  • Tiada bukti maklumat peribadi terjejas dan pembayaran pencen serta bantuan kebajikan diteruskan seperti biasa.
  • Siasatan masih dijalankan dengan kerjasama pakar keselamatan siber untuk mengenal pasti punca dan pihak bertanggungjawab.
Advertisement

LONDON: Jabatan Kerja dan Pencen (DWP) United Kingdom (UK) mengesahkan sistemnya menjadi sasaran serangan siber sehingga menyebabkan beberapa perkhidmatannya tergendala, lapor PA Media/dpa.

Jurucakap jabatan itu berkata serangan yang dikesan pada malam Khamis membabitkan cubaan mengakses sistem DWP tanpa kebenaran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa perkhidmatan dalam talian digantung sementara, termasuk portal pencen negara serta bantuan kebajikan Universal Credit dan Personal Independence Payment (PIP), dengan beberapa portal masih tidak dapat diakses sehingga Sabtu.

Advertisement

Bagaimanapun, pegawai memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan maklumat peribadi terjejas, manakala pembayaran pencen dan bantuan kebajikan diteruskan seperti biasa.

“Pasukan kami bersama pakar keselamatan siber masih menyiasat serangan terhadap sistem DWP.

Advertisement

“Kami bekerjasama dengan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan dan pusat penyelarasan siber kerajaan bagi mengenal pasti punca cubaan mengakses sistem kami tanpa kebenaran.

“DWP mempunyai pelan tindak balas yang telah diuji bagi menghadapi situasi seperti ini dan pelan itu segera dilaksanakan,” kata jurucakap berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri UK pada Jumaat memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan jabatan kerajaan lain turut menjadi sasaran serangan.

Menurut sumber kerajaan, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Serangan itu merupakan insiden terbaharu dalam siri insiden keselamatan siber yang melanda UK.

Awal bulan ini, beberapa pembekal daging di UK melaporkan peningkatan suhu peti sejuk mereka pada waktu malam susulan serangan siber terhadap perisian yang digunakan pasar raya di seluruh Eropah.

Sementara itu, badan kawal selia perlindungan data UK memaklumkan bahawa pihaknya sedang berhubung dengan DWP berhubung insiden berkenaan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement