SUBANG JAYA: Pasangan kekasih warga India yang diberkas sebelum ini berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki akan dituduh di Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.

Ketua Polis daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 30 dan 25 tahun itu sebelum ini ditahan bagi siasatan melibatkan mayat seorang lelaki yang juga suami kepada suspek wanita ditanam di belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu.

"Kedua-dua suspek telah mendapat arahan tuduh oleh Timbalan Pendakwa Raya dan akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada 4 Februari lalu, polis berjaya membongkar perbuatan kejam seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam pada Khamis berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa.

Susulan itu, polis turut menahan wanita warga India yang juga isteri mangsa dan kekasih kepada suspek. -Sinar Harian