SHAH ALAM: Mayat lelaki tanpa identiti yang ditemui di ruangan simpanan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, pada 27 Ogos lepas masih belum dituntut.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata setakat ini tiada maklumat lanjut yang dapat mengesahkan identiti mangsa.
“Setakat ini tiada individu yang tampil memberi maklumat. Sekiranya ada ahli keluarga yang masih belum pulang atau hilang boleh berhubung di balai polis berhampiran untuk kami lengkapkan siasatan.
“Identiti mayat itu juga masih belum dapat ditentukan,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.
Mengenai punca keberadaan mangsa di dalam pesawat tersebut, Shazeli berkata perkara itu masih menjadi persoalan dan dalam siasatan pihaknya, selain turut menjelaskan kes serupa pernah berlaku sebelum ini.
“Ini bukan kes pertama, pernah berlaku sedemikian rupa iaitu individu dijumpai di tempat simpanan tayar. Saya tak nak beri kesimpulan kerana dibimbangi tersasar. Kita tunggu hasil siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata polis sedang mengesan pemilik dan kru bot nelayan yang didakwa tidak mengambil mayat seorang mangsa tragedi bot karam, untuk dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata setakat semalam polis telah mengambil keterangan daripada mangsa yang selamat, namun masih ada individu berkaitan terutama saksi lain yang belum dirakam kerana tahap kesihatan belum mengizinkan.
“Kita sedang berusaha melengkapkan siasatan termasuk mengesan nelayan dan pemilik bot yang digunakan seperti didakwa itu. Insya-Allah, kita usahakan untuk mendapatkan maklumat dan melengkapkan hasil siasatan," katanya.
Berkenaan dakwaan keluarga mangsa yang mempertikaikan mengapa mayat tidak diambil ketika empat mangsa terselamat ditemui, Shazeli berkata pihaknya masih menyiasat perkara tersebut.
Beliau berkata berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang telah dirakam setakat ini terdapat kemungkinan mayat berkenaan melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan pemancing sama.
“Berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang terlibat, kita yakin kejadian tersebut mungkin melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan sama. Ini kerana pengecaman tidak dapat dijalankan pada waktu tersebut susulan keadaan mayat berkenaan,” katanya.
Dalam tragedi pada 13 Sept itu, empat pemancing terselamat iaitu Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali dan Muhd Hamiszar Punirain masing-masing berusia 45 tahun dan Zulfikalnain Awang, 47.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49 masih belum ditemui.
-- BERNAMA