IPOH: Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui terapung di Sungai Desa Aman di sini petang semalam.

Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 40 tahun itu, dijumpai orang awam kira-kira jam 6 petang dalam keadaan muka dan tangan kirinya telah hancur.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika ditemui, mayat itu masih berseluar panjang berwarna gelap namun tidak memakai baju dan tidak berkasut.

Menurutnya, mayat bagaimanapun diikat dengan tali ke sebatang kayu oleh saksi di tempat kejadian bagi mengelakkan ia terus dihanyutkan arus.

"Terdapat beberapa tatu disyaki tatu kongsi gelap 08 dan labah-labah pada badan si mati selain kesan kecederaan akibat gigitan binatang pada bahagian badan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal pihak patalogi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, mengesahkan kecederaan di badan mayat berkenan dipercayai kerana digigit atau dimakan haiwan dan mangsa dipercayai telah meninggal dua antara dua hingga tiga hari lalu.

Tambahnya, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati kematian mangsa berpunca dari kecederaan tisu lembut disebabkan oleh objek tumpul.

Katanya, pemeriksaan luaran badan mayat tersebut turut mendapati terdapat banyak luka lebam di bahagian kepala, dada, perut, tangan kiri dan kaki.

A. Asmadi berkata, polis telah menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Menurutnya, kesemua lelaki berumur antara 26 hingga 37 tahun direman selama empat hari sehingga 30 Mei bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.