JEDDAH: Jemaah haji Malaysia yang tiba bagi musim ini dinasihatkan supaya memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan, khususnya selepas selesai menunaikan umrah setibanya di Tanah Suci.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata jemaah perlu berehat secukupnya selepas perjalanan jauh sebelum membuat persiapan menghadapi kemuncak ibadah haji.
Advertisement
“Selepas sahaja mengerjakan umrah, jemaah dinasihatkan berehat sepenuhnya kerana perjalanan dari Malaysia ke sini agak panjang. Dalam keadaan cuaca di Mekah yang semakin panas, penjagaan kesihatan amat penting, katanya ketika ditemui sempena ketibaan kumpulan pertama jemaah di Terminal Haji Lapangan Terbang King Abdul Aziz menerusi KT48 di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa memastikan pengambilan air mencukupi serta mematuhi pengambilan ubat seperti yang ditetapkan.
“Minum air secukupnya dan ambil ubat yang dibekalkan bagi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik, lebih-lebih lagi menjelang ibadah haji dalam tempoh kira-kira 24 hari lagi,” katanya.
Terdahulu, kumpulan jemaah haji Malaysia yang tiba akan melalui laluan khas Mekah Route sebelum dibawa menaiki bas terus ke kota Mekah bagi menunaikan umrah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan perjalanan keseluruhan jemaah haji Malaysia setakat ini berjalan lancar melibatkan kumpulan KT-001 hingga KT-048, dengan sebahagian besar telah tiba lebih awal di Madinah.
“Alhamdulillah, setakat ini proses ketibaan semua jemaah berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar. Kita harapkan keadaan ini berterusan sehingga kumpulan terakhir KT-102 yang dijadual tiba pada 22 Mei nanti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan serta memperoleh haji yang mabrur.
“Kita doakan supaya semua jemaah diberikan kesihatan yang baik dan ibadah haji mereka diterima oleh Allah SWT,” katanya.