Dua mayat remaja lelaki ditemui di dalam sebuah kereta di Kampung Panchor, di sini, awal pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sekitar jam 5.55 pagi tadi.

Pihak polis yang dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat tersebut dan siasatan sedang dijalankan termasuk menunggu hasil bedah siasat.

Pemeriksaan awal pihak polis tidak menemui sebarang kecederaan namun terdapat lendir pada hidung mangsa.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supt Setapa Yusof mayat kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 18 tahun, ditemui terbaring - seorang di bahagian depan dan seorang lagi di bahagian penumpang belakang kereta.

"Kami dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh orang awam pada 5.55 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Sharul Nizam Hasbullah beralamat di Kampung Gertak Sagu dan Nik Muhammad Hafiz Nik Zam Zam dari Kampung Panchor, Kemumin.


Tambah Setapa, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mayat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.