KINABATANGAN: Mayat seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dikhuatiri lemas di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Batu Puteh, di sini berjaya ditemui.

Mangsa, Muhammad Azwa Azman, 8, ditemukan kira-kira jam 1.45 tengah hari, pada Khamis.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, mangsa ditemukan penduduk kampung 500 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan tidak lengkap anggota badan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang ketika mandi di sungai itu pada Selasa.

Lemas | Mayat kanak-kanak hilang di Sungai Kinabatangan ditemukan