SEBUYAU: Satu lagi mayat mangsa kapal karam di Perairan Pulau Burung, Sebuyau, Sarawak berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Ketua Polis Daerah Simunjan, DSP Wong Tee Kue, mengesahkan mayat kelima itu ditemui jam 2.15 petang di dalam kabin di tingkat tiga kapal dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat serta pengecaman identiti.

“Untuk makluman hasil pencarian hari ini kita telah jumpa satu lagi mangsa kapal karam.

“Maka ada tiga lagi mangsa belum dijumpai dan mayat yang dijumpai tadi telah dihantar ke HUS untuk ujian DNA dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Lembaga Sungai-Sungai (LSS) Sebuyau di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nurul Elmi Ali berkata, pihaknya mengambil masa dua jam untuk mengepam keluar air dalam kabin itu sehingga selamat dimasuki pasukan SAR diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Terdahulu, pasukan HAZMAT JBPM telah memulakan pemeriksaan di bahagian anjung dan dalam kapal lebih kurang pukul 12.05 minit tengah hari tadi.

“Pasukan HAZMAT masuk mendapati keadaan di sekeliling selamat untuk dimasuki untuk SAR dan menemui satu mayat di bahagian tingkat tiga di dalam bilik berkunci," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan dengan usaha mengepam keluar air dari bilik enjin kapal berkenaan.

“Pasukan SAR tidak dapat memasuki bilik enjin sebab masih dipenuhi air dan kita masih menunggu pihak kontraktor untuk mengepam air keluar yang dijangka selesai mungkin pada jam enam petang ini,” katanya.

Setakat ini mayat lima daripada lapan kru kapal kargo MV Tung Sung yang karam pada 19 Julai lalu telah ditemui di sekitar perairan Pulau Burung dan di dalam struktur kapal berkenaan.

Operasi SAR memasuki hari ke-12 hari ini berjalan lancar selepas usaha menterbalikkan kapal tersebut berjaya dilakukan dengan bantuan kapal kren.