Mayat seorang lelaki tempatan dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di leher dan tangan diikat dijumpai terdampar di bawah jambatan Kampung Labohan Dagang, Banting dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pukul 3.39 petang memaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki itu oleh nelayan di kawasan berkenaan.

"Mayat tanpa identiti berumur dalam lingkungan 30-an dan berkulit cerah itu berjaya diangkat oleh nelayan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

"Pada mayat itu turut terdapat kesan hentakan tumpul di kepala serta tangan ditetak dan mayat telah dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, mayat seorang lelaki dipercayai lemas ditemui terapung di Sungai Langat berhampiran Kilang Megasteel, Kuala Langat dekat sini.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata mayat Mohamed Sofiyuddin Kamar, 28, yang memakai jersi Malaysia dan berseluar jeans panjang ditemui kira-kira pukul 1 petang tadi.

"Mangsa dilaporkan hilang sejak 30 Nov lepas. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.