GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan pagar elektrik yang dipasang bagi menghalang babi hutan memasuki kebunnya di Kampung Star Baru, di sini.

Mokhtar Mat Nor, 56, dipercayai meninggal dunia tiga hari lalu, namun mayatnya hanya ditemui penduduk kampung jam 8 pagi Ahad dengan kesan terbakar di beberapa bahagian tubuh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa yang tinggal berseorangan ditemui di tepi rumah berhampiran pagar elektrik.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kabel elektrik pada kaki mangsa. Pemeriksaan lanjut pada badan mangsa bagaimanapun tidak menemui sebarang unsur jenayah.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat renjatan elektrik," katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, jiran yang menemui mayat mangsa, Mohd Razali Harun, berkata dia terhidu bau busuk ketika melalui kawasan rumah dan kebun mangsa. 

"Selepas terhidu bau itu saya rasa tidak sedap hati sebab sudah beberapa hari tak nampak dia keluar rumah. Saya kemudian singgah di rumah itu dan memanggil namanya namun tidak disahut.

"Selepas meninjau kawasan sekitar saya ternampak mayat dia lalu segera mendapatkan bantuan daripada orang kampung," katanya.