MELAKA TENGAH: Mayat dipercayai mangsa bunuh yang telah meninggal dunia lebih dua minggu yang dibungkus dalam lipatan tilam dengan tangan diikat ditemukan dalam sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini pada petang Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 7 petang selepas pemilik rumah datang membuat pemeriksaan di unit berkenaan.
Menurutnya, pemilik rumah bertindak ke lokasi selepas gagal menghubungi penyewa rumah tersebut sejak beberapa hari lalu.
“Semasa memasuki rumah itu, pemilik terhidu bau busuk sebelum menemui satu bungkusan tilam di ruang tamu.
“Pemilik kemudian menghubungi polis dan hasil pemeriksaan menemukan satu mayat dalam keadaan telah hancur dipercayai meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan,” katanya di Balai Polis Malim pada Jumaat.
Beliau ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi PERKEP IPD Melaka Tengah.
Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah reput.
Ujarnya, siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur pembunuhan berdasarkan keadaan mangsa dan situasi di dalam rumah tersebut.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
“Semasa suspek ditahan, dia masih dalam keadaan khayal dadah dan masih tidak dapat memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Ujarnya, siasatan awal mendapati rumah kedai tingkat satu itu disewa oleh seorang wanita sebelum didiami anaknya iaitu suspek.
Tambah beliau, polis percaya mangsa mempunyai kaitan dengan suspek.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan dan identiti mangsa.
“Kita percaya kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. - Sinar Harian