KOTA TINGGI: Jasad mangsa terakhir, Mohamad Haiman Fitri Supian, yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, Kota Tinggi, ditemukan kira-kira jam 3.05 petang pada Sabtu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari empat.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, jasad mangsa, ditemukan orang awam berdekatan Tanjung Siang pada jarak 12 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
Katanya jasad mangsa kemudiannya dibawa ke pusat kawalan kira-kira jam 4.30 petang bagi proses pengecaman waris dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
"Untuk operasi mencari dan menyelamat pada hari ini adalah lebih kurang dalam 139 batu nautika dan memandangkan mangsa terakhir telah dijumpai, jadi kita akan tamatkan SAR untuk operasi di laut," katanya ketika ditemui di pusat kawalan di pesisir Pantai Tanjung Lompat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, DSP Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan identiti mangsa sekali gus menjadikan keempat-empat mangsa berjaya ditemui.
Operasi SAR yang memasuki hari keempat itu ditamatkan pada jam 5 petang, selepas kesemua empat mangsa yang lemas berjaya ditemukan.
Pada Rabu, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lepas, namun dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
Mayat Muhammad Alif Taqiuddin Kamal Hasrul ditemui pada jam 1.25 tengah hari, 800 meter dari lokasi kejadian.
Manakala pada Khamis, mayat seorang lagi remaja iaitu Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor ditemui jam 1.53 tengah hari pada jarak 800 meter dari mayat pertama ditemui.
Manakala jasad Muhammad Adib Hafiy Kamal, ditemui jam 11.15 pagi pada Jumaat kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.