Polis telah menemui rangka milik seorang wanita warga emas di dalam rumahnya bersendirian di tingkat 15, Blok C, Flat Larkin, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Shahurinain Jais berkata rangka si mati yang dikenali sebagai Tey Kok Eng, 73, dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai sebuah bilik dalam keadaan berselimut.

"Si mati tinggal berseorangan. Pihak ambulan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru telah sampai di tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas si mati telah meninggal dunia dalam anggaran dua atau tiga bulan.

"Rumah si mati terletak di bahagian hujung sekali dan tiada jiran di kiri, kanan serta hadapan. Hasil pemeriksaan ke atas mayat si mati mendapati tiada unsur jenayah.

"Keputusan bedah siasat yang telah dijalankan pihak hospital pada Selasa lalu (14 Mei) memaklumkan punca kematian adalah 'Unascertained' (Skeletonized)”.

"Sampel tulang serta rambut simati telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor Bahru untuk 'DNA Profilling," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Shahurinain, pihaknya menerima makluman laporan kematian itu pada Isnin lalu jam 11.20 malam.

Katanya, ia diterima menerusi panggilan telefon dari pengerusi KRT Flat Larkin yang memaklumkan terdapat satu kes kematian.