KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan agar memberi lebih tumpuan terhadap menyelesaikan masalah air di  negeri itu berbanding melontarkan komen tidak sepatutnya kepada orang lain.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, komen terhadap pengurusan bola sepak pasukan tertentu pastinya akan mengundang reaksi balas dan komen daripada pihak yang dikritik.

Justeru, beliau berpendapat, adalah lebih baik tenaga dan kesungguhan sebegitu ditumpukan terhadap krisis air dan masalah rakyat yang semakin meruncing di Kedah.

Tegasnya, masalah air bertambah serius di Kedah malah dakwanya, penduduk di beberapa kawasan menganggap masalah itu sebagai 'endemik', kebiasaan yang harus ditelan kerana masalah itu sudah lama berlaku.

Ban Runtuh | 13,500 akaun pengguna SADA di Pokok Sena terjejas

“Saya juga dikejutkan dengan kenyataan Menteri Besar baru-baru ini yang mahu rakyat Kedah 'bersabar' dan beri peluang kepada kerajaan negeri.

“Mereka memaklumkan bahawa mereka sudah ada jalan keluar hasil perjanjian dan kerjasama dengan beberapa badan dan syarikat swasta.

“Namun demikian, saya menyifatkan, permintaan Menteri Besar yang memohon agar rakyat bersabar adalah bersifat 'pramatang' dan tidak objektif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

 
Gesaan TMJ | Sanusi enggan ulas, elak digelar derhaka

Dalam masa sama, Shaiful Hazizy mencadangkan pengurusan air negeri diserahkan kembali kepada Kerajaan Persekutuan.

“Migrasi pengurusan air negeri perlu dibincang dan diperhalusi demi rakyat. Kerajaan negeri perlu perakui bahawa Syarikat Air Darul Aman (SADA) gagal dan tidak mampu berdepan dengan pengurusan air yang semakin mencabar ini,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang kerana kerajaan negeri masih belum menggariskan garis panduan khas atau pelan tertentu bagi menghadapi gangguan bekalan air sepanjang musim kemarau.

“Pihak SADA seharusnya bersedia untuk melaksanakan tindakan tertentu contohnya penjadualan bekalan, baik pulih beberapa kawasan berisiko ataupun penyaluran daripada beberapa sumber alternatif.

“Bagaimanapun, pelan dan perancangan bagi menghadapi musim ini perlu ada dan rakyat tidak seharusnya dibiarkan dalam keadaan bimbang dan tertekan,” katanya.