IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, menafikan mesej tular kononnya pesakit COVID-19 Orang Asli di Ulu Groh, Gopeng, melarikan diri masuk ke dalam hutan.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah membuat siasatan dan mengesahkan maklumat yang ditularkan sejak Jumaat itu, tidak benar.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap akan menyiasat perkara itu lebih lanjut.

“Setakat ini, berita sahih daripada Pengarah Jakoa, (matlumat itu) palsu,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley, Cameron Highlands dekat sini, hari ini.

Menurutnya, beliau turut menerima mesej palsu yang sama melalui WhatsApp pada Sabtu yang antara lain mendakwa 250 Orang Asli di Gopeng positif COVID-19, dengan enam orang sudah meninggal dunia termasuk tok batin, selain sebahagian lari masuk ke hutan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kampar tidak menerima laporan mengenai kejadian itu selepas video beberapa petugas kesihatan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) menyeberangi sungai di kampung berkenaan, tular sejak Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, video tular itu adalah pengebumian dipercayai pada Selasa lalu.

Katanya, lokasi tapak pengebumian di kampung itu terletak di seberang sungai, justeru petugas kesihatan perlu melalui jambatan buluh untuk menyeberangi sungai berkenaan.

“Jenazah sampai ke kampung lewat petang sekitar pukul 7 petang. Disebabkan petugas dan dua orang waris telah ada dan menunggu di sana, jadi mereka teruskan pengebumian.

“Jenazah diuruskan seperti mana urusan jenazah pesakit COVID-19 lain iaitu dibalut dengan lapisan pelindung yang telah menjalani prosedur disinfeksi,” katanya.